Thursday, September 10, 2009 at 10:59pm
Kemenyan ditabur di atas bara,
Itu adat orang dahulu kala.
Gerak panglima gerak sejahtera,
Ibarat pendekar sudah bermula.
Langkah bermula daripada hati,
Perjuangan diberi tanpa henti.
Amalan pendekar sudah sebati,
Jiwa dan akal tidak takut mati.
Pendekar melangkah kanan dan kiri,
Ikut irama paluan berbunyi.
Itulah ilmu persilatan diri,
Gerak dan langkah rahsia tersembunyi
Silat adalah suatu seni membela diri bagi orang-orang nunsantara. Asal mula jadi tidak ada bertempat dalam sejarah kerana tiada awal mula yang tepat. Ianya juga kerana usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci kerana seni ini telah berusia beratus-ratus tahun. Namun ada juga silat yang dapat bertempat dan sasilah seni silat itu diketahui kerana diperturunkan/diajari satu generasi ke satu generasi atau mungkin penubuhan perguruan baru yaitu percampuran dalam gerak asal ke langkah baru;olahan dalam gerak dan langkah namun kembang tari atau bunga sembah tiada berbeza. Di ibaratkan setiap kuntum bunga, cabangnya tiada sama. Begitulah juga manusia asal sama tetapi manusia itu sendiri ada daripada pelbagai bangsa,bahasa dan budaya. Setiap perguruan silat mempunyai adat dan tatatusila tersendiri dalam perguruan masing-masing mengikut bangsa,bahasa dan budaya.
Pergerakan silat terbahagi kepada bunga (pergerakan seolah-olah tarian, digelar juga seni atau tari) dan buah (pukulan atau buah pukul). Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, mungkin ia kelihatan seperti sejenis tarian. Namun terdapat aliran yang hanya mempunyai buah seperti Silat Cekak. Seni tari yang halus ini memungkinkan ia digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai 'tari sembah' termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga. Tari sembah ini dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dalam aliran yang diwakili/dipelajari.(Pergerakkan itu adalah sembah salam perguruan/salam perkenalan/sembah guru)
Dalam pembelajaran ilmu gerak silat, ada beberapa gerak yang harus dihayati,difahami dan diingati. Ianya adalah asas untuk kesenian silat yang dipelajari,menyerang atau mempertahankan diri. Jurusan mempunyai dua pengertian. Pertama JURUS dan kedua JURUS TETAP. JURUS adalah pergerakkan yang dilakukan oleh seseorang untuk menyerang atau mempertahankan diri. JURUS dalam pertarungan terbahagi tiga iaitu jurus tindak balas,jurus kunci dan jurus maut. JURUS tidak akan tercipta tanpa pengetahuan dan pengertian untuk membela atau menyerang. JURUS TETAP adalah suatu pembelajaran tingkatan untuk dihayati,difahami dan diingati sebagai lambang ilmu silat yang dipelajari.
Dalam ilmu persilatan ada juga aliran/perguruan silat yang mengolahkan gerak dan langkah ibarat gerak dan langkah binatang. Walaupun agak berbeza tetapi dasar hakikat tetap sama ilmu seni beladiri. Aliran/perguruan silat ini juga mempunyai sembah tari. Seperti aliran/perguruan silat yang lain olahan gerak dan langkah ada jurusan. Ada juga aliran/perguruan silat yang mengolahkan gerak dan langkah dalam gabungan. Itulah indah seni warisan silat orang-orang nunsantara.
Timbul salah faham di kalangan orang ramai bahawa silat seni seperti silat pulut adalah biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan manakala silat dari jenis buah pukul atau seni tempur pula lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai atas dasar-dasar memelihara seni, muslihat permainan dan beberapa alasan yang lain. Hakikatnya 'silat pulut' bukanlah satu aliran silat berlainan yang hanya memfokuskan persembahan dan tidak boleh mempertahankan diri. Ia hanyalah terma atau gelaran yang digunakan apabila pesilat merancang acara persembahan mereka di majlis keramaian. Ini termasuklah tari sembah dan pertempuran yang diatur. Setiap aliran/perguruan silat mempunyai adat dan tatatusila tersendiri dalam perguruan masing-masing mengikut bangsa,bahasa dan budaya.
“ Asal silat mulanya diri;
Gerak dan langkah dalam tari.
Sembah tari kanan dan kiri;
Tersimpul rahsia tersendiri.
Gerak silat warisan seni;
Bunganya bangsa dan budaya.
Seni warisan hingga kini;
Rahsia tersimpan dalam daya.
Petua lama ilmu pesilat;
Siapalah cepat dia mendapat.
Gerak dan langkah mesti kilat;
Satu jurusan sudah tepat. ”
No comments:
Post a Comment