Sunday 6 November 2011

Seni Warisan Silat ( 2 )

Thursday, September 10, 2009 at 11:03pm

“ Asal silat mulanya diri;
Gerak dan langkah dalam tari.
Sembah tari kanan dan kiri;
Tersimpul rahsia tersendiri. ”
Maksudnya : Setiap aliran/perguruan silat mempunyai salam perguruan/salam sembah/tari sembah perguruan yang membentuk jati sendiri. Setiap aliran/perguruan silat mempunyai rahsia tersendiri.

“Gerak silat warisan seni;
Bunganya bangsa dan budaya.
Seni warisan hingga kini;
Rahsia tersimpan dalam daya. ”

Maksudnya : Silat adalah seni beladiri warisan orang-orang nunsantara. Setiap bangsa dan budaya orang-orang nunsantara mempunyai pelbagai daripada rupa,adat resam,suku sakat dan pengamalan/fahaman yang berbeza. Sebagai contoh silat Minangkabau dan silat Jawa mempunyai inti dan adat berbeza. Hakikatnya setiap aliran/perguruan silat memang berbeza tetapi dasarnya sama iaitu seni membela diri. Umumnya silat wujud semenjak beratus tahun lamanya tetapi masih kekal hingga hari ini. Rahsia silat bukan rahsia,bukan milik keluarga dan juga bukan milik bangsa. Rahsia sebenarnya tersemat dalam pengamalan dan daya sesiapa yang mempelajarinya. “MENGENAL DIRI.” 


“Petua lama ilmu pesilat;
Siapalah cepat dia mendapat.
Gerak dan langkah mesti kilat;
Satu jurusan sudah tepat. ”

Maksudnya : Ilmu pertarungan itu sangat luas. Hakikatnya pesilat yang cepat bertindak; sempurna dalam gerak,langkah dan jurus dapat manfaatkan kemenangan. Umumnya dalam pengetauhan tauhid; tanpa kudrat, iqtiqat, syariat dan juga makrifat tidak akan dapat bergerak, melangkah, bersedia, dan membuat jurus untuk membela diri. Hakikat sebenarnya satu jurusan mampu menewaskan seseorang dalam pertarungan.

Umumnya diketahui kedalaman ilmu di kalangan orang Islam mempunyai empat tingkat iaitu ilmu yang dibangsakan ilmu syariat, ilmu tarekat, ilmu hakikat dan ilmu makrifat. Empat perkara ini boleh diumpamakan seperti ilmu silat.
1. Ilmu Syariat - diumpamakan kulit buah bagaikan seni tarian dalam silat.
2. Ilmu Tarekat - diumpamakan isi buah bagaikan pukulan,tangkisan atau buah kunci dalam persilatan.
3. Ilmu Hakikat - diumpamakan bagaikan rahsia pukulan,tangkisan atau kuncian dalam ilmu persilatan.
4. Ilmu Makrifat - diumpamakan zat buah...??? dalam ilmu persilatan.

“ Asal silat sebenarnya diri. Diri bergerak dan melangkah dalam tari dalam sembah maka berbuah jurus. Asal silat tiada asal hanya diri namun diri tanpa hak tiada silat. Asal silat asal semulajadi kerana silat ada langkah ada gerak. Asal silat dalam ilmu tanpa amalan maka tiada terisi. Asal silat dalam amalan tanpa ilmu tiada hak. Asal silat dalam ilmu dalam amalan maka itulah silat. Asal silat mesti seimbang baru menyerang. Asal silat tiada menyerang tiada membela diri kerana itulah asal semulajadi. Asal silat tiada berasal.Asal silat tiada nama. Asal silat tiada rahsia.Asal silat asal diri. ”

Aku ingin menabur bakti;
Menabur bakti dalam seni.
Dalam seni tulusnya hati;
Tulus hati diriku ini.

Petua lama tidak tersimpan;
Aku hanya seorang insan.
Ilmu silat dalam dakapan;
Kenal diri memberi kesan.

Madah aku madah pendekar;
Jadi wadah untuk kalian.
Rahsia aku memanglah sukar;
Harga ilmu harga berlian.

Menjunjung kasih junjung budi;
Salam hormat sebelum duduk.
Ikutlah adat resmi padi;
Semakin tinggi makin tunduk.

Tuntut ilmu sebelum hilang;
Walau sampai negeri cina.
Nilai ilmu tidak terbilang;
Sampai masa pasti ke sana. ( Setiap yang bernyawa pasti mati )


Sekian dan salam hormat.

No comments:

Post a Comment